KUCHING – 26 SEPTEMBER 2020 (Sabtu) : Sejak 2017, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berjaya menganjurkan Karnival Maal Hijrah tanpa gagal sempena sambutan Pesta Kuching. Namun, penganjuran Karnival Maal Hijrah kali keempat ini agak berbeza dari tahun-tahun sebelumnya kerana kebanyakan aktiviti dibuat secara atas talian bagi mematuhi peraturan dan SOP yang telah ditetapkan.
Penganjuran Karnival Maal Hijrah kali ini mengambil masa selama 24 hari iaitu bermula 3 September hingga 26 September 2020 bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat menyertai pertandingan secara atas talian yang boleh didaftar secara percuma di laman web dbku.events .
Antara aktiviti yang diadakan adalah seperti Pertandingan Qasidah, Pertandingan Azan, Pertandingan Silat Solo Kreatif serta Bengkel dan Pertandingan Kaligrafi Khat. Seramai 10 peserta yang telah berdaftar untuk menyertai Pertandingan Silat Solo Kreatif, 30 peserta bagi Bengkel dan Pertandingan Kaligrafi Khat, 4 kumpulan bagi Pertandingan Qasidah dan 27 peserta bagi Pertandingan Azan.
Semoga program seumpama ini dapat membentuk peribadi yang lebih mencintai aktiviti kerohanian di samping mengasah bakat golongan muda dalam aktiviti seni pertahanan diri dan kaligrafi khat serta dapat dimanfaatkan oleh golongan muda demi kesejahteraan masyarakat seluruhnya.
Majlis Penyampaian Hadiah dan Penutupan Karnival Maal Hijrah 1442H hari ini disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datu Haji Junaidi Haji Reduan, Datuk Bandar Kuching Utara. Turut hadir bersama ialah Encik Rudzaimeir Malek, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komuniti DBKU.
#karnivalmaalhijrah1442H
#togetherwecare